GAZA, 13 Julai - Angka kematian akibat serangan rejim Israel di Semenanjung Gaza meningkat kepada 58,026 orang, manakala 138,520 lagi cedera sejak 7 Oktober 2023, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).
Sumber perubatan pada Ahad malam berkata, daripada jumlah itu, seramai 7,450 maut dan 26,479 cedera sejak 18 Mac lepas, iaitu selepas rejim Israel menyambung semula serangan ke atas Gaza susulan tamatnya perjanjian gencatan senjata.
Mereka memaklumkan seramai 28 orang terbunuh ketika sedang mendapatkan bantuan dan dibawa ke hospital dalam tempoh 24 jam lepas, manakala lebih 180 orang lagi cedera, menjadikan jumlah keseluruhan yang terkorban dan tiba di hospital setakat ini kepada 833 dan lebih 5,400 lagi cedera.
Menurut sumber itu, sebanyak 139 mayat dibawa ke hospital di Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam lepas, termasuk lima mayat yang ditemukan semula, sementara 425 orang lagi mengalami kecederaan.
Mereka turut memaklumkan masih terdapat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan dan di atas jalan, namun pasukan perubatan dan penyelamat tidak dapat mengakses lokasi berikutan serangan berterusan. - BERNAMA-WAFA