BENGALURU, 27 Jun- Jumlah kematian akibat keracunan alkohol haram di selatan India minggu lalu telah meningkat kepada 63 orang pada Khamis.
Beratus-ratus orang mati setiap tahun di India akibat alkohol murah yang dibuat di kilang penyulingan haram, tetapi kes di negeri Tamil Nadu ini adalah salah satu yang paling dahsyat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Ada dalam kalangan mangsa yang menjadi buta selepas meminum arak buatan tempatan yang dicampur dengan metanol di daerah Kallakurichi.
Ketua polis daerah tertinggi Rajat Chaturvedi memberitahu AFP bahawa 63 orang telah mati dalam kes berkenaan.
Lebih 100 orang pada mulanya dibawa ke hospital selepas arak haram itu dijual.
Parti politik di Tamil Nadu saling menunding jari atas kematian itu, dengan beberapa ahli parlimen pembangkang dipecat daripada dewan undangan negeri selepas mengadakan protes pada Rabu menuntut Ketua Menteri M.K. Stalin meletakkan jawatan.
Buruh miskin di daerah Kallakurichi selalu membeli minuman keras dalam beg plastik berharga 60 rupee (AS$0.70), untuk dinikmati sebelum bekerja.
Kali ini, akibatnya lebih dahsyat apabila sebilangan yang meminum arak murah tersebut menjadi buta, manakala yang lain rebah di jalan dan meninggal dunia sebelum mereka sempat ke hospital.
Tamil Nadu bukanlah negeri yang mengharamkan penjualan alkohol, tetapi minuman keras yang diniagakan di pasaran gelap dijual pada harga yang lebih rendah daripada alkohol yang dijual secara sah.
Untuk meningkatkan kesannya, minuman keras itu sering dicampur dengan metanol.
Tahun lalu, alkohol beracun membunuh sekurang-kurangnya 27 orang dalam satu majlis di negeri Bihar di timur India, manakala pada 2022, sekurang-kurangnya 42 orang mati di Gujerat.-AFP