fb fb fb fb fb

Angka korban akibat banjir di Maghribi meningkat kepada 18 orang

Usaha pencarian mangsa masih hilang diteruskan di kawasan Tamanart / FOTO AFP

RABAT, 10 September- Sekurang-kurangnya 18 orang, termasuk warga asing, disahkan maut dan empat lagi masih hilang dalam tragedi banjir di selatan Maghribi, kata kementerian dalam negeri pada Isnin.

Sepuluh orang maut di wilayah Tata dan tiga lagi di Errachidia, termasuk seorang warga Kanada dan seorang Peru, menurut kementerian itu.

Ia menambah dua orang lagi meninggal dunia di Tiznit, dua di Tinghir termasuk seorang warga Sepanyol, dan seorang di Taroudant.

Kementerian tersebut tidak menjelaskan sama ada warga asing tersebut adalah penduduk di Maghribi atau pelancong.

Sejak hari Jumaat, kawasan yang biasanya kering di selatan Maghribi telah dilanda banjir akibat hujan lebat yang luar biasa, kata pegawai.

Kawasan di selatan Maghribi terjejas "oleh jisim udara tropika yang sangat tidak stabil," kata jurucakap Direktorat Meteorologi Umum Maghribi, Lhoussaine Youabd, kepada AFP pada hari Ahad.

Beliau menjelaskan bahawa hal itu mengakibatkan pembentukan awan yang tidak stabil dan ganas yang menyebabkan hujan lebat, menyifatkan fenomena itu sebagai "luar biasa".

Akibatnya, kawasan Ouarzazate menerima 47 milimeter (1.9 inci) air dalam masa tiga jam, dan Tagounite, berhampiran sempadan Algeria, menerima 170 milimeter antara Sabtu dan Ahad, menurut perkhidmatan cuaca Maghribi.

Jurucakap kementerian dalam negeri, Rachid Khalfi, berkata jumlah hujan yang direkodkan dalam dua hari adalah bersamaan dengan apa yang biasanya dialami oleh wilayah-wilayah tersebut sepanjang tahun.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE