SYDNEY, 8 Disember -Seorang anggota bomba Australia maut selepas ditimpa sebatang pokok ketika membantu mengawal kebakaran hutan yang memusnahkan beberapa rumah di utara Sydney.
Insiden berlaku di kawasan belukar berhampiran Bulahdelah, kira-kira 200 kilometer dari Sydney, lewat malam tadi.
Mangsa, seorang lelaki berusia 59 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat serangan jantung selepas ditimpa pokok.
Menteri Perkhidmatan Kecemasan NSW, Jihad Dib menyifatkan, hari ini sebagai “gelap dan sukar” bagi seluruh pasukan bomba.
“Kita lihat pelbagai agensi berganding bahu melindungi komuniti. Tetapi kita juga melihat kemusnahan yang besar,” katanya.
Pesuruhjaya Perkhidmatan Bomba Luar Bandar NSW, Trent Curtin berkata, kebakaran yang bermula berhampiran Bulahdelah kini telah merebak sehingga 3,500 hektar.
Ratusan anggota bomba bekerja siang dan malam untuk menyelamatkan nyawa dan rumah yang terjejas,” katanya.
Lebih 50 kebakaran hutan masih marak di seluruh negeri New South Wales pada pagi Isnin, dengan keadaan cuaca kering dan panas meningkatkan risiko kebakaran.
Pada hujung minggu lalu, kebakaran yang merebak pantas memusnahkan 16 rumah di Central Coast, kawasan berpenduduk kira-kira 350,000 orang.
Pihak berkuasa memberi amaran risiko kebakaran hutan dijangka kekal tinggi sepanjang musim panas Australia dari Disember hingga Februari, susulan ramalan cuaca panas melampau. -REUTERS