BUCHAREST, 20 Julai – Seekor liger, iaitu kacukan singa jantan dan harimau betina, dilahirkan awal tahun ini di sebuah zoo persendirian di Romania, sekali gus menjadi tambahan unik kepada koleksi haiwan eksotik pemilik zoo berkenaan.
Anak liger tersebut, yang dinamakan Goliath, kini berusia dua bulan dan merupakan hasil kacukan singa jantan dengan harimau betina, dua spesies yang lazimnya tidak akan membiak secara semula jadi di habitat liar kerana hidup di benua berbeza.
Menurut pemilik zoo, Soimaru Dorin Ioan, proses pembiakan dilakukan dalam persekitaran terkawal atas minat terhadap spesies hibrid yang jarang ditemui.
Liger kebiasaannya bersaiz lebih besar berbanding induk mereka, namun pakar pemuliharaan seperti Big Cat Rescue memberi amaran bahawa haiwan hibrid ini sering mengalami kecacatan kelahiran dan berisiko tinggi untuk mati pada usia muda.
Goliath dilahirkan bersama seekor lagi anak betina yang tidak berjaya diselamatkan. Namun Soimaru memaklumkan, Goliath berada dalam keadaan sihat. Kedua-dua induknya ditempatkan di lokasi berbeza.-REUTERS