fb fb fb fb fb

Anak bongsu Hun Sen dilantik sebagai TPM

Timbalan Perdana Menteri, Hun Many/AFP

PHNOM PENH, 21 Februari- Parlimen Kemboja meluluskan anak bongsu bekas pemerintah Hun Sen sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM), sekali gus menjadi ahli keluarga terbaharu dinaikkan pangkat sejak bekas pemimpin itu menyerahkan tampuk pemerintahan kepada anak sulungnya Hun Manet.

Hun Sen meletak jawatan pada Ogos tahun lalu, selepas hampir empat dekad memerintah Kemboja, menyerahkan kuasa kepada Hun Manet berikutan kemenangan besar dalam pilihan raya negara.

Kerajaan yang dibentuk oleh Hun Manet tahun lalu, kini dianggotai beberapa orang saudara mara dan anak sekutu Hun Sen juga memegang jawatan tertinggi.

Kesemua 120 ahli parlimen, termasuk Hun Sen, mengesahkan Menteri Perkhidmatan Awam berusia 41 tahun, Hun Many sebagai Timbalan Perdana Menteri pada hari ini, atas permintaan Perdana Menteri, Hun Manet.

Terdapat sepuluh lagi Timbalan Perdana Menteri yang sudah berkhidmat.

Hun Manet memberitahu ahli parlimen bahawa kenaikan pangkat adik bongsunya adalah selaras dengan keperluan untuk mencapai "kecekapan pada tahap tertinggi dasar kerajaan", dengan matlamat untuk menjadikan Kemboja sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2050.

Antara sepuluh timbalan perdana menteri lain, ialah anak saudara Hun Sen, Neth Savoeun, bekas ketua polis negara.

Anak kedua Hun Sen, Hun Manith, 42, adalah Ketua Unit Perisikan Tentera Kementerian Pertahanan dan Timbalan Komander Tentera Diraja Kemboja.

Selepas berkuasa pada 1985, Hun Sen membantu memodenkan negara yang musnah akibat perang saudara dan pembunuhan beramai-ramai.

Hun Sen akan menjadi Presiden Dewan Negara selepas pemilihan senator pada Ahad.-AFP

ROSLINA BINTI DIN