BUENOS AIRES, 15 Jun- Anak kepada bekas Presiden Argentina, Cristina Fernandez de Kirchner, iaitu Maximo Kirchner, tampil bersama beberapa pemimpin politik lain dalam sidang media pada Sabtu, mengulas perkembangan terkini kes perbicaraan yang melibatkan ibunya.
Peguam kepada Cristina, Carlos Beraldi, memohon kepada mahkamah agar anak guamnya dibenarkan menjalani hukuman tahanan di rumah atas faktor keselamatan, susulan cubaan pembunuhan terhadap beliau pada September 2022.
Beraldi menegaskan permohonan itu bukan satu keistimewaan, sebaliknya adalah hak perundangan yang sepatutnya dipertimbangkan berdasarkan situasi semasa.
Maximo dalam kenyataan berasingan turut mempersoalkan ketelusan sistem kehakiman, khususnya hakim-hakim yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan bekas Presiden Mauricio Macri.
Beliau menggesa supaya perbicaraan semula diadakan bagi menjamin keadilan sebenar.
Cristina Fernandez de Kirchner dijadual tampil ke mahkamah pada 18 Jun ini bagi mendengar keputusan hukuman terhadapnya.-REUTERS