WASHINGTON, 4 Jun- Amerika Syarikat akan menggandakan tarif ke atas bahan keluli dan aluminium yang diimport bermula hari ini.
Menurut White House, tarif kedua-dua logam berkenaan dinaikkan kepada 50 peratus berbanding 25 peratus sebelum ini.
Tetapi tarif ke atas import logam dari United Kingdom (UK) kekal pada kadar 25 peratus.
Kedua-dua pihak akan melaksanakan duti dan kuota selaras dengan syarat pakatan perdagangan mereka yang terdahulu.
Peningkatan tarif berkenaan didakwa akan memberi sokongan yang lebih besar kepada industri terbabit.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan kenaikan tarif kedua-dua logam itu semasa bercakap dengan pekerja sebuah kilang keluli di Pennsylvania, minggu lalu.
Tindakan itu turut menimbulkan ketegangan dengan rakan dagangan utama AS.
Kesatuan Eropah (EU) juga memberi amaran bahawa mereka bersedia untuk bertindak balas terhadap levi yang dikenakan.
Blok itu berkata, pengumuman mengejut berkenaan akan menggugat usaha dalam mencapai penyelesaian yang dirundingkan antara EU dengan Amerika Syarikat. -AFP