VIENTIANE, 27 September - Jepun, Korea Selatan dan China bersetuju untuk menyalurkan kepakaran teknikal kepada ASEAN bagi memperkasa sektor tenaga boleh baharu dan bersih.
Komitmen berkenaan dinyatakan dalam Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) +3 ke-21, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air berkata, Rusia dan Australia turut menyatakan komitmen untuk membantu ASEAN dari sudut yang sama.
"Saya menzahirkan ucapan terima kasih kepada mereka (negara berkenaan). Kita memang mengharapkan bantuan teknikal terutama teknologi untuk beralih kepada tenaga boleh baharu," katanya dalam sidang media sempena hari terakhir lawatan kerja di Vientiane.
Dalam Mesyuarat dua hala dengan Vietnam di luar persidangan AMEM ke-42 pagi tadi, Datuk Seri Fadillah memaklumkan, negara itu secara dasarnya bersetuju membenarkan syarikat Malaysia meneroka peluang pelaburan dalam sektor tenaga angin di wilayah mereka.
Perbincangan turut melibatkan projek pembinaan kabel dasar laut untuk meyambung tara elektrik dari Vietnam ke Kelantan.
"Vietnam memberi komitmen, cuma meminta kita (Malaysia) mengemukakan cadangan konsep terlebih dahulu kerana mereka sedang menilai banyak cadangan lain," jelasnya.