fb fb fb fb fb

Akan berlaku “malapetaka” jika Rusia guna senjata nuklear - AS

(Setiausaha Negara AS, Antony Blinken pada satu majlis di luar Perhimpunan Agung
PBB pada 23 September lalu/AFP)

NEW YORK, 26 September- Amerika Syarikat memberi amaran kepada Rusia akan berlaku “malapetaka" atau bencana jika Moscow menggunakan senjata nuklear dalam pencerobohan di Ukraine. Perkara itu dinyatakan pegawai tinggi White House.

Presiden Rusia, Vladimir Putin telah mengeluarkan kenyataan berbaur ancaman untuk menggunakan senjata nuklear ketika berucap pada Rabu lalu; mengumumkan pengerahan pasukan simpanan berikutan kejayaan Ukraine menguasai semula beberapa kawasan yang dikepung.

Setiausaha Negara, Antony Blinken dalam temu bual yang disiarkan pada Ahad mengesahkan laporan tersebut, bahawa Amerika Syarikat telah menghantar amaran secara peribadi kepada Rusia agar mengelak daripada berlakunya perang nuklear.

“Secara terbuka, kami sudah menyatakan pendirian jelas kepada Rusia, juga secara peribadi supaya menghentikan cakap-cakap mengenai senjata nuklear,” kata Blinken kepada program CBS News “60 Minutes” di sini, di luar acara Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA).

“Adalah amat penting untuk Moscow mengetahui dan mendengar daripada kami akan kemungkinan kesan atau akibat yang ‘mengerikan’. Kami sudah menyatakannya dengan jelas.” Kata Blinken.

“Sebarang penggunaan senjata nuklear akan mewujudkan kesan bencana.”


(Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov ketika berucap pada Perhimpunan Agung PBB ke -77
disini pada 24 September 2022/AFP)

Dalam temu bual berasingan, Penasihat Keselamatan Presiden Joe Biden, Jake Sullivan menyatakan bahawa Amerika Syarikat telah memberi amaran pada "tahap yang sangat tinggi" kepada Rusia tentang "kesan bencana" jika berkeras untuk menggunakan senjata nuklear.

AS dan sekutunya akan “bertindak balas dengan tegas” kata kata Sullivan ketika ditanya isu berkaitan dalam program CBS - "Face the Nation".

“Kami sudah menyatakan dengan jelas dan spesifik tentang apa yang bakal berlaku.”

Rusia dan AS merupakan kuasa nuklear terbesar dunia namun seolah-olah terpisah daripada ancaman berkaitan termasuk kemusnahan planet juga doktrin tentera yang membenarkan penggunaan senjata nuklear semasa di medan perang untuk memaksa musuh berundur.

Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov ditanya semasa sidang media di PBB pada Sabtu mengenai reaksi Putin, dan berkata bahawa doktrin Moscow "adalah dokumen terbuka.”

Tidak ada negara yang telah menggunakan senjata nuklear di medan perang, kecuali Amerika Syarikat pada tahun 1945, apabila mereka ingin memusnahkan bandar Hiroshima dan Nagasaki, Jepun menyebabkan lebih 200,000 orang terbunuh.

Selepas serangan itu imperial Jepun menyerah kalah, sekali gus menamatkan Perang Dunia ke-2. –AFP

Media Baharu