fb fb fb fb fb

Air pancut Trevi bertukar hitam dalam protes iklim Rom

(FOTO REUTERS)

ROM, 22 Mei- Tujuh aktivis muda yang membantah perubahan iklim memanjat ke dalam Air Pancut Trevi di Rom pada Ahad dan menuang arang cair ke dalam air untuk mengubahnya menjadi hitam.

Penunjuk perasaan daripada kumpulan "Ultima Generazione" (Generasi Terakhir) mengangkat sepanduk yang mengatakan "Kami tidak akan membayar untuk (bahan api) fosil," dan menjerit "negara kita sedang mati."

Rakaman video menunjukkan polis berpakaian seragam mengharungi air untuk membawa keluar aktivis, dengan ramai pelancong merakam aksi itu dan beberapa orang penonton menjerit menghina penunjuk perasaan.

Dalam satu kenyataan, Ultima Generazione menggesa supaya subsidi awam dihentikan untuk bahan api fosil dan mengaitkan bantahan dengan banjir maut di wilayah utara Itali, Emilia-Romagna sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Kumpulan itu berkata satu daripada empat rumah di Itali berisiko banjir.

Datuk Bandar Rom, Roberto Gualtieri mengecam bantahan itu, yang terbaru dalam siri tindakan yang menyasarkan karya seni di Itali.

"Cukuplah serangan tidak masuk akal ini terhadap warisan seni kita," tulisnya di Twitter.

Tradisinya, pelawat melemparkan syiling ke dalam Air Pancut Trevi abad ke-18 yang terkenal untuk memastikan mereka akan kembali ke Rom suatu hari nanti. - REUTERS


(Seorang pegawai polis mengeluarkan seorang aktivis alam sekitar yang berdiri dalam kolam
dengan cat hitam dan sepanduk menentang bahan api fosil/ REUTERS)

Media Baharu