fb fb fb fb fb

ADB lulus pinjaman kedua AS$500 juta bantu Filipina urus bencana

FOTO REUTERS

MANILA, 29 Januari- Bank Pembangunan Asia (ADB) telah meluluskan pinjaman kedua sebanyak AS$500 juta untuk Filipina pada Rabu, membolehkan negara itu mengakses pembiayaan dengan pantas semasa bencana alam atau kecemasan berkaitan kesihatan.

Tahun lalu, Filipina dinilai oleh Forum Ekonomi Dunia sebagai negara risiko bencana tertinggi.

Negara Asia Tenggara itu mengalami sekitar 20 taufan dan sehingga 150 gempa bumi sekurang-kurangnya berukuran 4.0 magnitud setiap tahun, menurut pengumuman pembiayaan bank tersebut.

"Filipina adalah salah satu negara ekonomi yang berkembang pesat di Asia Tenggara tetapi berisiko tinggi terhadap gempa bumi, letusan gunung berapi, taufan, peningkatan paras laut, dan banjir," kata Pengarah Negara ADB, Pavit Ramachandran, dalam satu kenyataan.

"Menerusi program ini, kami bertujuan untuk membantu meningkatkan kapasiti negara dalam pengurangan risiko bencana dan pengurusan bencana di peringkat nasional dan tempatan," tambahnya.

ADB telah memberi Filipina tranche pertama sebanyak AS$500 juta pada September 2020, menjadikannya sebagai "Program Peningkatan Ketahanan Bencana Kedua".

Pinjaman bertahun-tahun itu direka untuk memastikan dana boleh disalurkan dengan segera selepas bencana yang disebabkan oleh risiko alam sekitar dan pengisytiharan darurat.

Kira-kira 60 peratus kawasan daratan negara ini terdedah kepada pelbagai bahaya, dengan hampir tiga perempat daripada populasi sekitar 120 juta orang hidup di bawah ancaman bencana.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE