fb fb fb fb fb

Jepun catat rekod tertinggi pelajar bunuh diri tahun lalu

FOTO HIASAN

TOKYO, 29 Januari- Jepun mencatatkan jumlah tertinggi bunuh diri dalam kalangan pelajar sekolah pada tahun 2024, menurut data kementerian kesihatan yang dikeluarkan pada Rabu.

Data terkini menunjukkan jumlah pelajar dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah yang membunuh diri meningkat kepada 527 kes, berbanding 513 kes pada 2023, kata kementerian tersebut.

Jumlah keseluruhan individu yang meninggal akibat bunuh diri bagi semua peringkat umur menurun sebanyak 7.2 peratus kepada 20,268 kes, jauh lebih rendah berbanding angka tertinggi 34,427 kes pada 2003.

Jumlah kematian bunuh diri dalam kalangan individu yang berumur kurang daripada 20 tahun, termasuk pelajar sekolah, turut menurun kepada 800 kes pada 2024 berbanding 810 kes pada 2023, seperti yang ditunjukkan oleh data terkini.

"Kami mengambil perkara ini dengan sangat serius," kata Keiichiro Tachibana, timbalan setiausaha kabinet, dalam satu taklimat akhbar biasa.

"Kami akan terus berusaha untuk mengambil langkah-langkah bagi melindungi nyawa kanak-kanak dan mewujudkan masyarakat di mana tiada sesiapa yang terpaksa mengambil nyawanya sendiri."

Kementerian kesihatan dijangka mengeluarkan analisis lebih mendalam mengenai data tersebut pada Mac setelah lebih banyak maklumat tersedia.

Setiap tahun, jumlah bunuh diri dalam kalangan remaja di Jepun meningkat selepas cuti musim panas berakhir pada akhir Ogos hingga awal September, yang mendorong kerajaan dan media untuk menggandakan usaha agar remaja yang menghadapi masalah mendapatkan bantuan.

Punca sebenar kebanyakan bunuh diri pelajar masih tidak diketahui. Analisis terdahulu menunjukkan bahawa remaja sering berdepan dengan pelbagai tekanan, termasuk berkaitan dengan pelajaran, buli, hubungan sosial, pilihan kerjaya dan masalah kesihatan.

Pada puncaknya pada 2003, jumlah lelaki yang membunuh diri di Jepun melebihi wanita hampir tiga kali ganda, yang mendorong kerajaan mengambil tindakan.

Tindakan tersebut termasuk kempen kesedaran agresif, perkhidmatan kesihatan mental dan usaha untuk memperbaiki budaya kerja yang ketat.

Tahun lalu, sebanyak 13,763 lelaki membunuh diri, menurun 45 peratus berbanding 2003, manakala 6,505 wanita mengambil nyawa mereka sendiri, menurun 31 peratus.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE