HANOI, 27 Disember – Sekurang-kurangnya sembilan orang maut manakala sembilan lagi cedera selepas sebuah bas terbalik dan terbabas dalam nahas jalan raya di utara Vietnam, hari ini.
Kemalangan itu berlaku di wilayah pergunungan Lao Cai membabitkan seramai 18 penumpang.
Kebanyakan mereka merupakan guru dari Hanoi dalam perjalanan lawatan kebajikan ke wilayah berkenaan.
Menurut akhbar tempatan, kejadian berlaku di laluan menuruni bukit yang panjang di Komun Phinh Ho, sebelum pasukan penyelamat terpaksa menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan terbabit.
Pihak berkuasa tempatan kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan.
Nahas jalan raya yang meragut nyawa sering berlaku di Vietnam, terutamanya membabitkan bas dan lori.
Kebanyakannya berpunca daripada pemanduan terlalu laju atau kerosakan mekanikal kenderaan.
Berdasarkan data Kementerian Kewangan Vietnam, seramai 8,515 orang terkorban manakala 10,204 lagi cedera dalam nahas jalan raya di seluruh negara itu bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini. - AFP