fb fb fb fb fb

9 maut, 21 cedera dalam serangan Rusia di Sloviansk

(Penduduk tempatan melihat bangunan pangsapuri yang rosak akibat serangan
tentera Rusia di Sloviansk, wilayah Donetsk, Ukraine/ REUTERS)

KIEV, 15 April- Sekurang-kurangnya sembilan maut, manakala 21 lagi cedera akibat bedilan peluru berpandu Rusia di bandar Sloviansk dekat timur Ukraine, semalam.

Bercakap kepada stesen televisyen nasional, Gabenor wilayah Donetsk, Pavlo Kyrylenko, berkata tujuh peluru berpandu S-300 milik Rusia dibedil ke beberapa lokasi di Sloviansk dekat barat Bakhmut yang menjadi kawasan pertempuran paling hebat di Ukraine.

Katanya, anggota penyelamat di lokasi itu mengeluarkan seorang wanita warga emas berusia 74 tahun daripada runtuhan.

"Setakat ini, 21 mangsa cedera, manakala sembilan lagi maut akibat serangan di lokasi kejadian," katanya.

Terdahulu, pegawai kanan di Pejabat Presiden Ukraine, Daria Zarivna, berkata seorang kanak-kanak meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Polis Ukraine pula berkata, sejumlah 10 bangunan rosak dalam serangan itu, selain dua tingkat atas sebuah bangunan lima tingkat runtuh akibat serangan dan kebakaran yang berlaku bertentangan tapak berkenaan.

Pasukan penyelamat menjalankan tugas mereka di kawasan terjejas.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy menerusi catatan disertakan rakaman bangunan rosak, berkata 'negara jahat sekali lagi menunjukkan belangnya', 'membunuh, merosakkan dan memusnahkan semua kehidupan'.

Sloviansk dan bandar berhampiran Kramatorsk, kedua-duanya diinginkan tentera Rusia yang kini terperangkap berdekatan Bakhmut, ketika meneruskan pencerobohan ke atas Ukraine. - REUTERS


(Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy/ REUTERS)

Media Baharu