fb fb fb fb fb

85 pesakit di Gaza diterbangkan ke UAE untuk rawatan pakar

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus/ AFP

GENEVA, 31 Julai- Seramai 85 pesakit di Gaza telah diterbangkan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk mendapatkan rawatan pakar.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pesakit terdiri daripada 35 kanak-kanak dan 50 orang dewasa, yang diiringi 63 ahli keluarga dan penjaga.

Ia merupakan pemindahan perubatan terbesar dari wilayah Palestin, sejak konflik bermula pada Oktober tahun lepas.

Mereka dipindahkan dari Gaza melalui persimpangan Kerem Shalom ke Israel ke Lapangan Terbang Ramon berhampiran Eilat di selatan Israel dan diterbangkan ke Abu Dhabi.

"53 pesakit menghidap kanser, termasuk empat kanak-kanak, 20 mengalami kecederaan trauma, (3) menghidap penyakit darah, termasuk talasemia, (3) menghidap penyakit kongenital, (2) dua menghidap anemia, (1) menghidap penyakit saraf, (1) seorang menghidap penyakit jantung, (1) menghidap penyakit hati, dan (1) mengalami kegagalan buah pinggang," kata WHO.

"Pesakit itu dikumpulkan dari beberapa lokasi dan hospital lapangan di seluruh Gaza.

"Pemindahan itu ditangguhkan dari Isnin dan berlaku dalam keadaan yang sangat mencabar di dalam keadaan konflik dan jalan raya yang rosak", kata WHO.

"Kami berterima kasih kepada UAE kerana menyokong pemindahan pesakit ini untuk menerima rawatan segera yang mereka perlukan," kata Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.

“Kami berharap ini membuka jalan kepada penubuhan koridor pemindahan melalui semua laluan yang mungkin, termasuk lintasan Kerem Shalom dan Rafah ke Mesir dan Jordan dan dari sana ke negara lain.

"Kami juga menggesa pemindahan ke Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, dipulihkan.

Sejak Oktober lalu, kira-kira 5,000 pesakit telah dipindahkan bagi mendapatkan rawatan di luar Gaza. Lebih 80 peratus pesakit menerima rawatan di Mesir, Qatar dan UAE.

"Bagaimanapun, lebih 10,000 yang lain di Gaza masih memerlukan rawatan pesakit luar", kata WHO.

Pengarah Wilayah Mediterranean Timur WHO, Hanan Balkhy menyeru lebih banyak negara di Timur Tengah untuk memberikan rawatan bagi menyelamatkan nyawa mangsa yang dipindahkan.

"Sokongan kepada penduduk di rantau ini mesti bermula dari rantau ini," katanya.

Menurut Kementerian Kesihatan kendalian Hamas, sekurang-kurangnya 39,400 penduduk Palestin terkorban dan lebih 90,000 orang cedera di Gaza sejak konflik bermula.-AFP

ROSLINA BINTI DIN