fb fb fb fb fb

8,610 syahid dan 23,000 cedera di Gaza

Kanak-kanak perempuan menerima rawatan di Hospital Nasser selepas pengeboman Israel di Gaza/AFP

RAMALLAH, 31 Oktober- Pembunuhan beramai-ramai Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sejak 7 Oktober lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 8,610 rakyat Palestin dan lebih 23,000 cedera, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Angka korban itu dicatatkan sepanjang serangan zionis yang memasuki hari ke-26 hari ini.

Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, seramai 8,485 terbunuh di Semenanjung Gaza dan lebih 21,000 cedera, manakala 125 terbunuh dan 2,050 cedera di Tebing Barat.

Zionis mengebom kawasan bersebelahan dua hospital di Gaza City dan utara Gaza sejak dua hari berturut-turut yang juga menyebabkan kerosakan pada fasiliti hospital.

Hospital Nasser dan Hospital Turki iaitu satu-satunya hospital kanser, serta pusat kesihatan yang bergabung dengan Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) telah rosak dalam serangan itu.

Selain itu, gudang Bulan Sabit Merah Palestin bersebelahan Hospital Al-Quds turut dibom dan dirosakkan.

Difahamkan, kesemua 13 hospital yang masih beroperasi di kawasan terbabit menerima arahan pemindahan oleh Israel berulang kali sejak beberapa hari kebelakangan ini. 

SITI AISHAH BINTI MD ISA