fb fb fb fb fb

Mesir sedang siap sedia terima, rawat penduduk Gaza yang cedera

Seorang lelaki mengibarkan bendera Mesir dan Palestin di atas trak yang sarat dengan bantuan untuk penduduk Gaza/AFP

KAHERAH, 1 November- Mesir sedang bersiap sedia untuk menerima dan merawat penduduk Gaza yang cedera akibat serangan zionis, dengan pembukaan pintu sempadan di Rafah.

Pihak berkuasa sempadan di Semenanjung Gaza memaklumkan Mesir telah bersetuju untuk membenarkan kemasukkan 81 mangsa yang paling kritikal hari ini melalui Rafah iaitu satu-satunya 'lintasan' yang tidak dikawal oleh Israel.

Jurugambar agensi berita antarabangsa AFP berkata, sejumlah besar ambulans sudah bersiap sedia berkumpul di Rafah sejak semalam.

"Pasukan perubatan akan hadir esok (Rabu) di persimpangan untuk memeriksa kes yang datang (dari Gaza) sebaik sahaja mereka tiba... dan menentukan hospital yang akan dihantar," kata seorang pegawai perubatan di bandar El Arish, Mesir.

Pegawai perubatan itu menambah bahawa sebuah hospital lapangan dengan keluasan 1,300 meter persegi akan dibina untuk menerima penduduk Gaza yang cedera di bandar Sheikh Zuweid, utara Sinai, kira-kira 15 kilometer dari Rafah.

Terdahulu, Mesir mengeluarkan kecaman terhadap Israel yang mengebom orang awam di kem pelarian di Jabalia hingga membunuh ratusan nyawa, semalam.

Kementerian Kesihatan Gaza memberitahu lebih 8,500 orang telah terbunuh, termasuk lebih 3,500 kanak-kanak sejak peperangan tercetus pada 7 Oktober lalu. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA