fb fb fb fb fb

62 petugas bantuan kemanusiaan maut tahun ini

(Foto hiasan)

NEW YORK, 18 Ogos- Seramai 62 petugas bantuan kemanusiaan terkorban pada tahun ini dalam zon konflik di seluruh dunia.

Perkara itu dikongsikan ketika Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang sedang melakukan persediaan bagi memperingati 20 tahun insiden serangan ke atas ibu pejabat PBB di Baghdad.

PBB meraikan Hari Kemanusiaan Sedunia pada 19 Ogos setiap tahun bagi memperingati peristiwa pengeboman di Baghdad yang telah meragut 22 nyawa, termasuk Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi hak asasi manusia dan Ketua Misi PBB di Iraq, Sergio Vieira de Mello.

Menurut Pangkalan Data Keselamatan Pekerja Bantuan, sebanyak 62 kematian berlaku di zon konflik, 84 pekerja bantuan mengalami kecederaan dan 34 orang diculik. Angka kematian pada tahun lalu adalah seramai 116 orang.

Sudan Selatan menjadi tempat paling berisiko di dunia untuk pekerja bantuan. Sehingga 10 Ogos, terdapat 40 serangan terhadap kakitangan kemanusiaan di sana dengan 22 nyawa terkorban, kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB.

Selain itu, 17 serangan berlaku ke atas pekerja bantuan di utara Sudan dan 19 kematian setakat tahun ini. Angka yang agak tinggi itu tidak pernah dilihat sejak konflik Darfur dari 2006 hingga 2009.

Selain itu, pekerja kemanusiaan meninggal dunia di beberapa negara termasuk Republik Afrika Tengah, Mali, Somalia, Ukraine dan Yaman.

"Risiko yang kami hadapi adalah di luar pemahaman manusia," kata laporan yang disusun oleh NGO termasuk Doctors of the World, Action Against Hunger dan Handicap International, dengan kerjasama daripada Kesatuan Eropah.

Menurut Pertubuhan Keselamatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Antarabangsa, setiap tahun lebih daripada 90 peratus orang yang maut dalam serangan ke atas petugas bantuan adalah penduduk tempatan.


(Foto hiasan/AFP)

Tahun ini Hari Kemanusiaan Sedunia menandakan 20 tahun sejak pengeboman di Baghdad terhadap Hotel Canal, yang merupakan ibu pejabat PBB di ibu negara Iraq.

Letupan pada 2003 itu berlaku semasa konflik pencerobohan yang diketuai Amerika Syarikat yang menggulingkan Saddam Hussein, menyebabkan 22 orang terkorban dan mencederakan kira-kira 150 pekerja bantuan tempatan dan antarabangsa.

"Hari Kemanusiaan Sedunia dan pengeboman Hotel Canal akan sentiasa menjadi peristiwa yang menyedihkan bagi saya dan ramai yang lain," kata Ketua Kemanusiaan PBB, Martin Griffiths.

"Setiap tahun, hampir enam kali lebih ramai pekerja bantuan terbunuh dalam menjalankan tugas berbanding yang terkorban pada hari yang menyedihkan di Baghdad dan mereka kebanyakannya merupakan pekerja bantuan tempatan," tambahnya.

Pada ketika berlakunya pergolakan di dunia, PBB berkata badan itu sedang berusaha untuk membantu hampir 250 juta orang yang tinggal di kawasan krisis. Angka itu, 10 kali ganda lebih banyak daripada tahun 2003.-AFP

Media Baharu