fb fb fb fb fb

5 pelancong terkorban ditembak di Kashmir, disyaki serangan pemberontak

FOTO HIASAN

SRINAGAR, 22 April- Sekurang-kurangnya lima orang pelancong maut manakala beberapa lagi cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah kumpulan pelawat di kawasan pelancongan Pahalgam di Kashmir yang ditadbir India, hari ini.

Bekas Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, Mehbooba Mufti menyifatkan insiden itu sebagai serangan pengecut yang menyasarkan orang awam yang tidak bersenjata.

"Saya mengecam sekeras-kerasnya serangan kejam terhadap pelancong di Pahalgam yang meragut lima nyawa dan mencederakan beberapa yang lain," katanya dalam satu kenyataan.

Setakat ini, tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut. Namun sejak 1989, kawasan majoriti penduduk Muslim itu berdepan pemberontakan bersenjata yang menuntut kemerdekaan atau penyatuan dengan Pakistan, yang turut menuntut wilayah berkenaan secara keseluruhan seperti India.

Pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi, Ravinder Raina menyelar tindakan pengganas yang disifatkan tidak berperikemanusiaan.

"Pengganas-ganas pengecut ini menyasarkan pelancong yang tidak bersenjata. Beberapa mangsa kini dirawat di hospital," ujarnya kepada media tempatan.

Kira-kira 3.5 juta pelancong telah melawat Kashmir pada tahun 2024, kebanyakannya dari dalam negara, menurut angka rasmi.

Pada 2023, India turut menganjurkan mesyuarat pelancongan G20 di Srinagar di bawah kawalan keselamatan yang ketat dalam usaha menggambarkan kestabilan yang semakin pulih selepas tindakan keras kerajaan India pada 2019 yang membatalkan autonomi separa Kashmir dan meletakkan wilayah itu di bawah pentadbiran langsung dari New Delhi.

Lebih 500,000 anggota tentera India kini ditempatkan secara tetap di rantau tersebut.

India sering menuduh Pakistan menyokong gerakan militan, dakwaan yang dinafikan Islamabad dengan alasan mereka hanya menyokong perjuangan rakyat Kashmir untuk menentukan nasib sendiri.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE