fb fb fb fb fb

5,000 terkorban dalam serangan di Mariupol

(Seorang tentera Ukraine melalui lorong barisan hadapan di bahagian utara
wilayah Kiev pada 28 Mac 2022/AFP)


KIEV, 29 Mac- Ukraine melaporkan sekurang-kurangnya 5,000 orang terkorban dalam 'malapetaka' krisis kemanusiaan yang kini melanda bandar Mariupol.

Ia berikutan pertempuran di sekitar Kiev, termasuk kawasan di pinggir bandar semakin memuncak selepas barisan pertahanan mendakwa berjaya mengusir penceroboh Russia.

Beberapa bandar di Ukraine masih terus dibedil Rusia walaupun menjelang rundingan damai di Turki, hari ini, ketika Kiev dan sekutu baratnya berusaha menamatkan perang yang tercetus selama sebulan.

Menurut pegawai kanan Ukraine, sekurang-kurangnya 5,000 penduduk telah dikebumikan dan seramai 10,000 lagi dikhuatiri meninggal dunia.

Angka itu mengesahkan senario paling malang yang melanda bandar di Pelabuhan selatan Mariupol yang kini sudah dikepung.

Menurut penasihat presiden, Tetyana Lomakina, pengebumian terpaksa dihentikan sejak 10 hari lalu akibat bedilan berterusan.

Serangan Russia berhampiran Kiev menyebabkan lebih 80,000 rumah terputus bekalan elektrik.

"Untuk menawan Kiev secara asasnya adalah menawan Ukraine dan itu adalah matlamat mereka," menurut Timbalan Menteri Pertahanan Ukraine, Ganna Malyar.

"Rusia sedang cuba untuk meruntuhkan tembok di sekitar Kiev dan menghalang laluan kenderaan," katanya.

(Seorang tentera Ukraine berjalan di antara runtuhan ibu pejabat wilayah yang musnah di Kharkiv/AFP)


Bagaimanapun, pasukan pertahanan Ukraine berjaya menawan semula pinggir bandar Irpin dari pasukan Rusia dengan membersihkan kawasan itu dari satu blok ke satu blok," menurut Menteri Dalam Negeri Ukraine, Denys Monastyrsky.

Wartawan AFP melaporkan, bunyi bedilan masih kedengaran di sekitar jalan menuju ke Irpin, namun kebanyakan penduduk termasuk seorang warga emas berusia 86 tahun, Olga Molchanova, sudah mula meninggalkan bandar berkenaan.

"Kami hanya berdoa kepada tuhan untuk keselamatan. Saya berdoa supaya tentera yang mempertahankan kami diberi kekuatan," katanya yang menangis sebaik bertemu semula dengan anak perempuannya, Agnesa Brovkina.

"Telinga ibu saya menjadi pekak akibat bedilan dan serangan roket tanpa henti. "Siang dan malam tanpa mengira masa, itu saja yang berlaku," katanya. -AFP

Media Baharu