GAZA, 26 Disember-Sekurang-kurangnya 45 orang termasuk kakitangan hospital dan wartawan sebuah stesen penyiaran terbunuh dalam serangan Israel pada Khamis menurut sumber Palestin.
Lima kakitangan di salah satu hospital terakhir yang masih berfungsi di utara Gaza adalah antara yang terbunuh, kata pengarah kemudahan itu, lebih dua bulan selepas operasi Israel di kawasan tersebut.
Hossam Abu Safiya, ketua Hospital Kamal Adwan di Beit Lahia, berkata serangan Israel itu mengakibatkan lima kakitangan hospital iaitu seorang pakar pediatrik, seorang juruteknik makmal, dua pekerja ambulans dan seorang kakitangan penyelenggaraan terbunuh.
Israel telah melancarkan serangan besar-besaran di utara Gaza sejak 6 Oktober lepas, dengan alasan untuk mencegah kumpulan Hamas daripada bangkit semula.
Di bahagian selatan wilayah Palestin, ketua pakar pediatrik di Hospital Nasser di Khan Yunis berkata tiga bayi telah meninggal dunia akibat penurunan suhu yang teruk minggu ini ketika cuaca sejuk musim sejuk melanda.
Dr Ahmed al-Farra berkata kes terbaharu melibatkan seorang bayi perempuan berusia tiga minggu yang dibawa ke bilik kecemasan akibat penurunan suhu yang teruk, yang menyebabkan kematiannya".
Seorang bayi berusia tiga hari dan seorang lagi kurang daripada sebulan meninggal dunia pada Selasa, katanya.
Sementara itu, sebuah saluran TV Palestin yang bersekutu dengan kumpulan Hamas berkata lima wartawannya terbunuh pada Khamis dalam serangan Israel ke atas kenderaan mereka dengan tentera Israel berkata mereka menyasarkan pengganas.
Saksi berkata sebuah peluru berpandu menyerang van tersebut semasa di parkir di luar Hospital Al-Awda di Nuseirat.
Kempen ketenteraan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 45,399 orang di Gaza, majoritinya orang awam, menurut angka dari kementerian kesihatan wilayah yang dikendalikan Hamas dan dianggap boleh dipercayai oleh PBB.-AFP.