BANGKOK, 25 Mei - 43 orang penumpang yang berada dalam penerbangan Singapore Airlines ketika mengalami pergolakan udara yang teruk masih lagi menerima rawatan di hospital, di sini, empat hari selepas tragedi itu, kata Hospital Samitivej Srinakarin dalam satu kenyataan.
Kesemua mereka berada di tiga hospital berbeza di Bangkok.
Hospital Samitivej Srinakarin memaklumkan, 34 pesakit berada di hospital itu dimana tujuh pesakit berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu tiga warga Australia, dua warga Malaysia, seorang warga Britain dan seorang warga New Zealand.
27 lagi pesakit lain yang turut berada di hospital itu termasuk lapan warga Britain, enam warga Australia, lima warga Malaysia dan dua warga Filipina.
Dua orang telah dibenarkan keluar dari Hospital Samitivej Srinakarin, manakala dua dari Hospital Samitivej Sukhumvit telah dipindahkan ke Hospital Samitivej Srinakarin untuk bersama saudara-mara yang dirawat di hospital itu, kata kenyataan itu.
Pada Khamis, Pengarah Hospital Samitivej Srinakarin berkata 22 pesakit mengalami kecederaan saraf tunjang dan enam mengalami kecederaan otak dan tengkorak, namun tiada yang mengancam nyawa.
Pada Selasa, penerbangan Singapore Airline SQ321 yang membawa 211 penumpang dan 18 anak kapal dari London ke Singapura itu telah melakukan lencongan ke Bangkok untuk melakukan pendaratan kecemasan selepas mengalami pergolakan udara yang teruk semasa terbang melintasi Myanmar.-REUTERS