TANAH DATAR, 13 Mei- Sekurang-kurangnya 37 orang terkorban pada hujung minggu ini akibat banjir kilat dan lumpur di wilayah Sumatera Barat.
Pihak berkuasa pada Isnin memaklumkan bahawa operasi carilamat diteruskan bagi mencari 17 lagi mangsa yang hilang.
Ketua penyelamat wilayah pasukan, Abdul malik memberitahu Reuters bahawa hujan lebat pada petang Sabtu telah menyebabkan banjir kilat, tanah runtuh dan lumpur, di tiga daerah di wilayah Sumatera Barat.
Banjir lumpur yang terhasil antaranya disebabkan lahar yang berasal dari Gunung Merapi, salah satu gunung berapi paling aktif di Sumatera.
Pada Disember, lebih 20 orang terbunuh selepas gunung Merapi meletus, selain diikuti beberapa siri letusan selepas itu.
“Hujan lebat turut membawa abu dan batu besar dari gunung berapi Merapi."
"Lumpur dan banjir kilat sentiasa menjadi ancaman kepada kita sejak kebelakangan ini. Tetapi masalahnya, ia selalu berlaku lewat malam sehingga subuh,” kata Abdul Malik.
Abdul berkata kira-kira 400 anggota terdiri daripada penyelamat tempatan, polis dan tentera telah dikerahkan untuk mencari mangsa yang hilang pada Isnin, dibantu oleh sekurang-kurangnya lapan jengkaut dan dron.
Usaha menyelamat yang bermula pada Ahad telah rumit dengan jalan yang rosak, menyukarkan penyelamat untuk melaluinya.
Agensi pengurusan dan bencana negara (BNPB) dalam satu kenyataan berkata hampir 200 rumah rosak dan 72 hektar (178 ekar) tanah termasuk sawah padi terjejas.
"Sekurang-kurangnya 159 orang dari daerah Agam telah dipindahkan ke bangunan sekolah berhampiran," kata BNPB.
Rakaman yang dikongsi BNPB menunjukkan jalan raya dan sawah dipenuhi lumpur selain banjir juga membawa kayu balak dan batu besar ke dalam penempatan.
Eko Widodo, 43 tahun yang terselamat, mengingatkan bahawa banjir datang serta-merta.
“Banjir berlaku secara tiba-tiba dan sungai tersumbat yang mengakibatkan aliran air merata-rata dan tidak terkawal.”- REUTERS