fb fb fb fb fb

35 kubur rahsia ditemui di Sonora, dipercayai mangsa hilang paksa

FOTO FAIL REUTERS

MEXICO CITY, 2 Februari- Kumpulan pencari Buscadoras por la Paz mengumumkan penemuan 35 kubur rahsia yang mengandungi sekitar 50 mayat mangsa kehilangan paksa di sepanjang laluan luar bandar berhampiran Hermosillo, Sonora.

Ketua kumpulan itu, Cecilia Delgado Grijalva, berkata lokasi kubur besar berkenaan ditemukan selepas menerima maklumat daripada sumber tanpa nama. Ia terletak di sepanjang Lebuh Raya 26 yang menghubungkan Hermosillo dengan Bahía de Kino.

Pasukan forensik, kumpulan pencari dan pihak berkuasa kini bekerjasama untuk menggali serta mengenal pasti identiti mayat, satu proses yang dijangka mengambil masa beberapa minggu.

Penemuan itu mengulangi kejadian serupa tahun lalu di El Choyudo, di mana 53 mayat ditemukan yang kesemuanya dipercayai mangsa dari Lembah Guaymas.

Aktivis dan ibu-ibu yang kehilangan ahli keluarga merayu kepada kumpulan jenayah agar meninggalkan mayat di tempat terbuka supaya keluarga dapat menuntut jasad orang tersayang.

Kehilangan paksa merujuk kepada situasi di mana seseorang individu diculik, ditahan, atau dipenjarakan oleh pihak berkuasa, kumpulan bersenjata, atau pihak tertentu, tetapi keberadaannya disembunyikan dan tidak diakui secara rasmi.

Dalam kebanyakan kes, ia melibatkan penderaan, pembunuhan, dan pembuangan mayat secara rahsia, seperti yang sering berlaku dalam konflik bersenjata atau rejim yang menindas.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE