fb fb fb fb fb

Doktor dari New York didakwa, kirim pil gugur kepada remaja di Louisiana

FOTO HIASAN

NEw YORK, 1 Februari-  Seorang doktor dari New York, Margaret Carpenter, didakwa di West Baton Rouge, Louisiana, pada Jumaat kerana memberi preskripsi pil pengguguran kepada seorang remaja di negeri itu.

Carpenter dan kliniknya, Nightingale Medical, didakwa atas kesalahan jenayah pengguguran menggunakan ubat, satu kesalahan jenayah berat mengikut pertuduhan yang dikemukakan oleh Pejabat Peguam Daerah West Baton Rouge. Ibu kepada remaja terbabit turut dikenakan pertuduhan.

Kes itu dijangka menjadi ujian awal terhadap kuasa negeri yang mengharamkan pengguguran dalam mendakwa penyedia perkhidmatan di luar sempadan mereka, serta kemampuan negeri yang menyokong hak pengguguran dalam melindungi penyedia perkhidmatan daripada tindakan undang-undang.

Carpenter sebelum ini turut disaman secara sivil oleh Peguam Negara Texas, Ken Paxton.

"Adalah menyalahi undang-undang untuk menghantar pil pengguguran ke negeri ini dan juga untuk memaksa seseorang menjalani pengguguran," kata Peguam Negara Louisiana, Liz Murrill. "Kami akan memastikan individu yang melanggar undang-undang dipertanggungjawabkan."

Bagaimanapun, Gabenor New York, Kathy Hochul, menyatakan negeri itu tidak akan mematuhi sebarang permintaan untuk mengekstradisi Carpenter.

Peguam Negara New York, Letitia James, dalam satu kenyataan berkata, "Usaha pengecut oleh Louisiana untuk menyalahgunakan undang-undang terhadap penyedia perkhidmatan di luar negeri adalah tidak adil dan tidak mencerminkan nilai Amerika."

Lebih separuh daripada pengguguran di Amerika Syarikat dilakukan melalui kaedah ubat-ubatan, dan ia menjadi perhatian selepas keputusan Mahkamah Agung AS pada 2022 yang membenarkan negeri-negeri mengharamkan pengguguran, termasuk Louisiana.

Tahun lalu, Louisiana turut mengklasifikasikan mifepristone, ubat utama dalam prosedur pengguguran menggunakan ubat, sebagai bahan terkawal bawah undang-undang negeri. Mifepristone adalah ubat pertama dalam rejimen dua ubat yang diluluskan oleh FDA untuk menamatkan kehamilan dalam tempoh 10 minggu pertama.

Carpenter, yang berpusat di New Paltz, New York, merupakan pengasas bersama Abortion Coalition for Telemedicine, yang menyokong akses perkhidmatan pengguguran melalui teleperubatan di seluruh negara.

Kes itu juga menjadi ujian kepada undang-undang perlindungan (shield laws) di lapan negeri pimpinan Demokrat, termasuk New York, yang melindungi doktor yang memberi pil pengguguran kepada pesakit di negeri lain. Undang-undang itu menyatakan New York tidak akan bekerjasama dengan negeri lain dalam pendakwaan, saman atau hukuman ke atas doktor yang beroperasi mengikut undang-undang negeri itu.

Sementara itu, kumpulan anti-pengguguran memuji pendakwaan terhadap Carpenter.

"Louisiana berhak dan bertanggungjawab melindungi rakyatnya daripada risiko pil pengguguran yang berbahaya," kata Erik Baptist, peguam dari Alliance Defending Freedom, sebuah kumpulan konservatif yang sebelum ini terlibat dalam usaha mengehadkan penggunaan mifepristone di peringkat nasional.

Sebaliknya, Nancy Northrup dari Center for Reproductive Rights menyifatkan kes berkenaan sebagai cubaan untuk menakut-nakutkan doktor lain daripada membantu wanita di negeri yang mengharamkan pengguguran dan kekurangan pilihan perubatan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE