fb fb fb fb fb

Doktor rogol pesakit ketika kolonoskopi, dihukum penjara 78 bulan

FOTO HIASAN

MUNICH, 1 Februari- Mahkamah Jerman pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara enam tahun setengah terhadap seorang doktor kerana merogol pesakit wanita ketika menjalani pemeriksaan kolonoskopi.

Doktor yang dikenali sebagai Wolfgang H. itu didapati bersalah atas 17 tuduhan rogol dan serangan seksual, menurut kenyataan mahkamah Munich.

Pendakwa raya terdahulu telah memohon hukuman penjara selama lapan tahun.

Doktor tersebut didapati telah memasukkan jarinya ke dalam faraj wanita-wanita berkenaan semasa menjalani kolonoskopi, secara berulang antara tahun 2017 hingga 2021, yang boleh dihukum sebagai rogol menurut undang-undang Jerman, kata mahkamah.

Dia dibebaskan daripada dua lagi tuduhan rogol.

Akhbar Sueddeutsche Zeitung melaporkan bahawa wanita-wanita tersebut dibius semasa pemeriksaan usus dilakukan di klinik Munich dan pembantu perubatan telah menyaksikan kejadian tersebut.

Lelaki berusia 52 tahun itu menafikan tuduhan terhadapnya dan berhasrat untuk merayu keputusan tersebut, menurut peguam pembelaannya yang dipetik oleh akhbar berkenaan.

Empat rakan sekerja wanita yang menyaksikan kejadian tersebut telah memberi amaran mengenai kejadian berkenaan selepas beberapa ketika.

Mahkamah mendapati keterangan mereka konsisten dan terperinci serta alasan bahawa mereka hanya melaporkan kejadian tersebut selepas kejadian berlaku boleh dijelaskan secara munasabah dengan ketakutan terhadap kemungkinan tindakan balas di tempat kerja.

Mahkamah bagaimanapun tidak menggantung Wolfgang H. daripada terus mengamalkan profesion sebagai doktor, kerana tiada bukti dia telah melakukan jenayah lain selepas kejadian itu dilaporkan.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE