fb fb fb fb fb

30 penduduk Palestin terkorban dalam serangan Israel di Sekolah Khadija

Kesan serangan Israel ke atas sekolah Khadija yang menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Deir al-Balah/ AFP

GAZA, 28 Julai- Serangan Israel ke atas Sekolah Khadija di tengah Deir el-Balah semalam mengorbankan 30 penduduk Palestin dan mencederakan lebih 100 orang.

Statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan Gaza menunjukkan, sekurang-kurangnya lapan serangan dilancarkan sejak 6 Julai lepas, mengorbankan lebih 100 mangsa.

Rejim zionis terus menjadikan sekolah sebagai sasaran serangan. Tentera Israel mendakwa kawasan itu sebagai tempat persembunyian musuhnya.

Sebahagian besar daripada 2.4 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal sejak konflik Israel-Hamas pada Oktober lalu, menyebabkan ramai penduduk mencari perlindungan di bangunan sekolah termasuk yang diserang pada Sabtu.

Sementara itu, menurut agensi pertahanan awam Gaza, kira-kira 170 penduduk terbunuh dan ratusan cedera di selatan Khan Yunis dalam operasi ketenteraan Israel sejak Isnin lalu.

Tentera zionis turut memberi amaran tentang operasi ketenteraan baharu di kawasan Khan Yunis, iaitu lokasi lima mayat warga Israel yang ditahan sejak konflik Israel-Palestin, ditemui.

Sabtu lalu, tentera Israel mengarahkan penduduk di Khan Yunis untuk berpindah sementara ke Al-Mawasi iaitu zon selamat dalam tempoh seminggu.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berkata lebih 180,000 rakyat Palestin telah melarikan diri dari pertempuran sengit di kawasan itu.

Jurucakap agensi pertahanan awam Mahmud Bassal, memberitahu bahawa ramai penduduk telah dipindahkan semula pada hari Sabtu ketika Israel meneruskan operasi ketenteraannya.

Bagaimanapun, katanya sebahagian besar Khan Yunis tidak sesuai untuk diduduki dan tiada pilihan lain yang tersedia serta orang awam telah berusaha untuk mencari perlindungan.

"Arahan pemindahan dan permusuhan yang semakin sengit sangat menjejaskan operasi bantuan, bekalan air serta kebersihan di wilayah Palestin", menurut PBB.

Angka korban penduduk Palestin kini meningkat kepada 39,258 orang.-AFP

ROSLINA BINTI DIN