GAZA, 13 Julai - Serangan udara terbaharu rejim zionis membunuh sekurang-kurangnya 29 individu dengan enam daripadanya merupakan kanak-kanak.
Jurucakap Pertahanan Awam Palestin, Mahmud Bassal mendedahkan, Israel membedil beberapa kawasan sekitar bandar itu, semalaman.
Serangan udara rejim di kem pelarian Nuseirat, selatan Gaza membunuh 10 orang dan mencederakan beberapa penduduk.
Di tengah Gaza, enam kanak-kanak antara lapan yang terbunuh ketika mendapatkan bekalan air di sebuah pusat pengagihan.
Sementara di wilayah selatan, tiga terbunuh apabila jet Israel mengebom kawasan perkhemahan sekitar pantai Al-Mawasi.
Semalam, lebih 35 sasaran sekitar Beit Hanun, di utara Gaza dibedil pesawat pejuang Israel, kononnya menyasarkan kedudukan pejuang Hamas.-AFP