fb fb fb fb fb

27 cedera, gempa 6.0 magnitud gegarkan Taiwan

FOTO USGS.GOV

TAIPEI, 21 Januari- Gempa bumi bermagnitud 6.0 melanda Taiwan pada Selasa, mengakibatkan 27 orang cedera dan siling rumah runtuh, kata pihak berkuasa tempatan.

Seorang wartawan AFP di ibu kota Taipei merasakan gegaran selama hampir satu minit apabila gempa itu berlaku sejurus selepas tengah malam.

Pusat gempa direkodkan 12 kilometer (7.5 batu) di utara Yujing, sebuah daerah pengeluar mangga di selatan Taiwan, menurut USGS.

Video yang dimuat naik di Facebook dan disahkan oleh AFP menunjukkan pihak bomba tempatan menyelamatkan tiga orang, termasuk seorang kanak-kanak, yang terperangkap dalam sebuah rumah yang runtuh di daerah Nanxi.

Kementerian Kesihatan Taiwan berkata, sejumlah 27 orang cedera, manakala pasukan bomba daerah Nanxi menyatakan tiada kerosakan besar dilaporkan.

Syarikat pembuat cip Taiwan, TSMC, memindahkan pekerja dari beberapa kilangnya di wilayah tengah dan selatan.

Di Bandar Chiayi, utara Yujing, rak-rak dilihat bergoyang dan barang-barang jatuh ke lantai dalam rakaman CCTV yang dikongsi di Threads dan disahkan oleh AFP.

Taiwan sering dilanda gempa bumi kerana kedudukannya di sempadan dua plat tektonik berhampiran Lingkaran Api Pasifik, yang menurut USGS adalah zon gempa paling aktif di dunia.

Gempa besar terakhir berlaku pada April 2024 apabila pulau itu dilanda gempa maut bermagnitud 7.4, yang menurut pegawai adalah yang terkuat dalam tempoh 25 tahun.

Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dalam gempa itu, yang mencetuskan tanah runtuh dan merosakkan bangunan di sekitar Hualien.

Gempa pada April merupakan yang paling serius di Taiwan sejak ia dilanda gempa bermagnitud 7.6 pada tahun 1999.

Kira-kira 2,400 orang maut dalam gempa itu, menjadikannya bencana alam paling dahsyat dalam sejarah pulau itu.

Sejak itu, Taiwan telah mengemas kini dan meningkatkan kod bangunannya untuk memasukkan kaedah pembinaan tahan gempa, seperti penggunaan besi keluli yang membolehkan bangunan bergoyang dengan lebih mudah apabila berlaku gegaran.

Dikenali dengan syarikat teknologi canggihnya, Taiwan telah membangunkan sistem amaran awal maju yang boleh memberi amaran kepada orang ramai tentang gegaran besar dalam beberapa saat.

Sistem itu telah ditambah baik sepanjang tahun dengan menggabungkan alat baharu seperti telefon pintar dan sambungan data berkelajuan tinggi, walaupun di kawasan paling terpencil di pulau itu.- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE