WASHINGTON, 21 Januari- Presiden AS Donald Trump telah menandatangani perintah eksekutif pada Isnin yang mewajibkan penjawat awam persekutuan kembali bekerja di pejabat sepenuh masa.
Ia menjadi salah satu tindakan rasmi pertamanya selepas memegang jawatan tertinggi negara itu.
Langkah tersebut adalah antara beberapa perintah eksekutif yang ditandatangani Trump semasa acara umum di sebuah arena di Washington, yang dihadiri oleh ribuan penyokongnya.
"Ketua semua jabatan dan agensi dalam cabang eksekutif Kerajaan hendaklah, secepat mungkin, mengambil semua langkah yang diperlukan untuk menamatkan aturan kerja 'jarak jauh'," menurut kenyataan White House.
Langkah itu juga mewajibkan pekerja untuk kembali bekerja secara fizikal di stesen tugas masing-masing secara sepenuh masa, dengan syarat ketua jabatan dan agensi boleh membuat pengecualian yang mereka anggap perlu.
"Memorandum ini hendaklah dilaksanakan selaras dengan undang-undang yang berkenaan," tambah kenyataan itu.
Ketegasan yang digunakan dalam kenyataan tersebut menekankan cabaran yang mungkin dihadapi oleh pentadbiran baharu Trump dalam menguatkuasakan perintah eksekutif itu,, memandangkan tentangan kuat daripada kesatuan pekerja sektor awam terhadap penamatan kerja dari rumah.
Kemudahan bekerja dari rumah bermula sejak pandemik COVID-19, apabila jutaan pekerja pejabat berpindah ke talian dalam usaha majikan mengurangkan penularan virus.
Langkah tersebut menjadi popular dalam kalangan pekerja, yang menyuarakan sokongan terhadap fleksibiliti baharu yang mereka nikmati dalam kehidupan peribadi mereka.
Ramai penyokong kuat Presiden Trump, termasuk sekutunya yang juga bilionair dan penderma utama, Elon Musk, telah menyatakan bahawa polisi bekerja dari rumah tidak efisien dan menggesa pekerja persekutuan untuk kembali bekerja sepenuh masa di pejabat.-AFP