LIMA, 21 Januari- Seorang wartawan yang melaporkan mengenai wabak pemerasan di Peru ditembak mati pada Isnin, manakala dua orang cedera dalam serangan bom berasingan di pejabat pendakwa raya yang juga menyiasat kegiatan pemerasan.
Gaston Medina, pemilik dan editor sebuah saluran TV serantau, ditembak mati ketika meninggalkan rumahnya di bandar Ica, di selatan-tengah Peru, menurut Persatuan Wartawan Kebangsaan (ANP).
Dia ditembak berkali-kali oleh lelaki bersenjata dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital, tambah ANP.
Medina sebelum ini dalam laporan beritanya mengupas pelbagai isu, termasuk masalah pemerasan oleh kumpulan jenayah yang mengancam pemandu bas, peniaga, pendandan rambut, malah guru, jika mereka enggan membayar wang perlindungan.
Syarikat pengangkutan mengadakan beberapa mogok tahun lalu susulan pembunuhan pemandu bas yang didakwa dilakukan oleh pemeras ugut.
Dalam serangan berasingan pada Isnin di bandar Trujillo, barat laut Peru, yang menjadi pusat wabak pemerasan, dua orang cedera apabila sebuah bom meletup di luar pejabat pendakwa raya.
Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki menaiki motosikal dengan beg galas seperti yang digunakan oleh penghantar makanan meninggalkan beg tersebut di depan pejabat pendakwa raya.
Beg itu meletup tidak lama kemudian.
Peguam Negara Delia Espinoza menyalahkan serangan itu kepada jenayah terancang.
Walaupun pemerasan merupakan masalah di seluruh Amerika Latin, ia telah mencapai tahap yang membimbangkan di Peru, fenomena itu sebahagiannya angkara kumpulan jenayah seperti Tren de Aragua dari Venezuela, yang beroperasi di beberapa negara Amerika Latin.
Sebagai tindak balas kepada pembunuhan pemandu bas, kerajaan mengisytiharkan darurat di beberapa kawasan di ibu negara Lima tahun lalu, dan mengerahkan tentera.
Dalam tempoh sepuluh bulan pertama tahun 2024, polis menerima lebih daripada 14,000 aduan pemerasan. Namun, masalah itu dipercayai lebih meluas kerana ramai mangsa tidak melaporkan kes atas dasar ketakutan.
Keuntungan bernilai jutaan dolar menjadikan perniagaan pemerasan lebih menguntungkan daripada perdagangan dadah, penyeludupan manusia, malah mungkin perlombongan haram, menurut sumber perisikan kepada AFP.
Wilmer Quispe, seorang peguam untuk Medina, wartawan yang dibunuh itu, memberitahu wartawan bahawa kliennya telah menerima ancaman bunuh sebelum serangan pada hari Isnin.
Peru berada di kedudukan ke-125 daripada 180 negara dalam Indeks Kebebasan Akhbar 2024 oleh Reporters Without Borders.-AFP