FOTO AFP
ISLAMABAD, 8 Januari - Sekurang-kurangnya 21 maut selepas terperangkap dalam kenderaan masing-masing akibat salji tebal di pekan berbukit Murree, Pakistan.
Puluhan ribu pengunjung bersesak ke kawasan itu bagi menyaksikan fenomena salji luar biasa.
Polis melaporkan, lapan orang beku di dalam kenderaan dan mangsa lain berkemungkinan maut akibat sesak nafas selepas terhidu gas ekzos.
Perdana Menteri, Imran Khan terkejut dan sedih dengan tragedi itu.
"Salji yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan orang ramai meneruskan perjalanan tanpa memeriksa keadaan cuaca menyebabkan pentadbir daerah tidak bersedia.
Telah mengarahkan siasatan & melaksanakan peraturan ketat bagi memastikan ia tidak berulang", tulisnya di Twitter.
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Sheikh Rashid berkata pasukan tentera telah digerakkan untuk membersihkan jalan dan menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap.
Sebelum ini Pusat Ramalan Cuaca Kebangsaan Pakistan telah memaklumkan salji tebal dijangka melanda kawasan itu sehingga petang Ahad.