fb fb fb fb fb

20 ditahan, 3 polis cedera dalam rusuhan di Bolivia

Foto REUTERS

LA PAZ, 30 Mei-Seramai 20 orang ditahan dan tiga anggota polis cedera dalam rusuhan yang berlaku pada Khamis di Bolivia.

Insiden berlaku selepas penyokong bekas presiden Evo Morales bertempur dengan polis.

Mereka mendesak supaya Morales dibenarkan bertanding dalam pilihan raya Ogos ini, meskipun mahkamah telah melarang dan tarikh akhir pendaftaran calon sudah pun berakhir pada 19 Mei.

Para penyokong yang tidak berpuas hati telah membaling batu dan mercun ke arah polis, yang membalas dengan gas pemedih mata.

Ketegangan memuncak apabila wakil parti Pan-Bol yang menyokong Morales tidak dibenarkan menghantar senarai calon ke pejabat pilihan raya.

Pihak berkuasa berkata parti itu tidak menggunakan sistem digital rasmi untuk mendaftar. Sebaliknya, mereka hanya menghantar e-mel.

Morales pernah menjadi presiden selama 13 tahun, tetapi kini tidak dibenarkan bertanding semula selepas mahkamah menegaskan had dua penggal presiden dalam perlembagaan negara.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD