KAHERAH, 17 Oktober – Sebanyak 190,000 tan metrik bantuan kemanusiaan kini terkandas di sempadan Gaza sementara menunggu kelulusan rejim Israel.
Ketua Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Tom Fletcher mendedahkan perkara itu selepas meninjau lintasan Rafah dan pusat logistik Bulan Sabit Merah Mesir di El-Arish, Sinai Utara, bagi melihat sendiri persediaan penghantaran bantuan ke Semenanjung Gaza.
Fletcher menggesa Israel segera membuka semua lintasan sempadan bagi membolehkan bantuan masuk tanpa sekatan.
Beliau menegaskan keutamaan kini adalah memberi makanan kepada kanak-kanak, membekalkan ubat ke hospital dan menyediakan tempat berteduh kepada rakyat Gaza.
Beliau berkata, bantuan yang berjaya masuk setakat ini hanya sebahagian kecil daripada keperluan sebenar, dengan puluhan lori dibenarkan setiap hari berbanding ratusan yang diperlukan.
“Kami perlu hentikan kebuluran, pulihkan sektor kesihatan dan berikan rakyat Gaza harapan untuk hidup semula,” katanya.
Lintasan Rafah kekal ditutup meskipun dijangka dibuka semula untuk konvoi bantuan, sementara rejim Israel terus mengugut menutup bantuan sepenuhnya jika Hamas enggan menyerahkan jenazah askar mereka. - AFP