fb fb fb fb fb

19 maut, 27 cedera dalam serangan bom di Afghanistan

KABUL, 30 September- Sekurang-kurangnya 19 terkorban dalam serangan bom berani mati di sebuah pusat pendidikan tinggi di ibu negara Afghanistan.

Mangsa terdiri daripada pelajar yang sedang bersiap sedia untuk menduduki peperiksaan kemasukan ke universiti.

Letupan berlaku di Pusat Pendidikan Tinggi Kaaj di kawasan kejiranan Dasht-e-Barchi di barat Kabul yang dihuni majoriti penduduk Islam Syiah daripada komuniti Hazara.

"Pelajar sedang bersiap untuk peperiksaan apabila pengebom berani mati menyerang pusat pendidikan ini.

Malangnya, 19 orang telah maut dan 27 yang lain cedera," kata jurucakap polis Kabul, Khalid Zadran.

Video dan foto yang dimuat naik dalam talian menunjukkan mangsa berlumuran darah dibawa pergi dari tempat kejadian.

Menurut seorang mangsa yang dirawat di hospital, kebanyakan yang terkorban dalam serangan tersebut adalah wanita.

"Kami terdiri daripada kira-kira 600 orang di dalam kelas, tetapi kebanyakan mangsa adalah wanita," katanya.

(Seorang wanita tiba di hospital untuk mencari ahli keluarganya yang menjadi mangsa pengeboman / Foto AFP)

 

“Pasukan keselamatan telah sampai ke lokasi, jenis serangan dan butiran mangsa akan dikeluarkan kemudian,” menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Abdul Nafy Takor. -AFP

Media Baharu