(Jakarta telah menekankan kepentingan membangunkan
vaksin nasional sejak permulaan wabak COVID-19/AFP)
JAKARTA, 30 September- Indonesia meluluskan vaksin COVID-19 tempatan pertama untuk kegunaan kecemasan, kata ketua agensi kesihatan awam negara itu, menyifatkan ia sebagai satu langkah ke arah "kemerdekaan negara dalam akses kepada perubatan".
Jab IndoVac, yang dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal milik kerajaan Bio Farma dan Kolej Perubatan Baylor yang berpangkalan di Texas, kini boleh digunakan sebagai dos primer bagi orang dewasa yang tidak divaksinasi atau divaksin separa di negara keempat paling ramai penduduk di dunia itu.
"Pembangunan vaksin domestik adalah kebanggaan bagi kita rakyat Indonesia sebagai asas dan sebagai langkah pertama untuk mencapai kemerdekaan negara dalam akses kepada perubatan," kata Ketua Agensi Makanan dan Ubat Kebangsaan (BPOM), Penny Lukito dalam sidang media di sini.
(Seorang wanita menerima vaksin AstraZeneca COVID-19 di klinik di pulau peranginan Bali,
Indonesia/AFP)
Menurut beliau IndoVac menunjukkan kadar keberkesanan 92% dan tiada laporan kematian dikaitkan dengannya dalam ujian manakala kesan sampingan "secara umumnya ringan".
Kajian klinikal untuk menggunakannya sebagai suntikan penggalak sedang dijalankan, kata Lukito.
BPOM juga mengumumkan ia telah memberi kelulusan penggunaan kecemasan untuk vaksin mRNA yang dibangunkan di China, menjadi negara pertama yang berbuat demikian.
Jakarta telah menekankan kepentingan membangunkan vaksin nasional sejak permulaan wabak tetapi kini bergantung pada Sinovac China dan vaksin mRNA Moderna dan Pfizer-BioNTech buatan Barat. -AFP