fb fb fb fb fb

Dua kartel dadah berebut kawasan di Mexico, 19 mati

FOTO HIASAN

MEXICO CITY, 2 Julai- Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh, empat daripadanya warga Guatemala, dalam pertempuran antara dua kumpulan dadah di Chiapas, selatan Mexico, kata pihak berkuasa semalam.

Kementerian Keselamatan Awam Mexico (SSP) dalam kenyataan memaklumkan, 16 mayat lelaki dengan kesan tembakan ditemukan dalam sebuah trak kargo, manakala tiga yang lain mati di luar kenderaan tersebut.

Insiden berlaku pada Jumaat lepas di perbandaran La Concordia, berhampiran sempadan Guatemala, yang merekodkan peningkatan keganasan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Siasatan awal mendapati "pertembungan" itu adalah antara kartel Sinaloa, salah satu kumpulan paling berkuasa di Mexico, dengan kumpulan dikenali sebagai kartel "Chiapas and Guatemala"

"Kedua-dua kumpulan bertempur untuk merebut kawalan jenayah di kawasan sempadan," menurut kenyataan.

Wilayah tersebut adalah "kunci" bagi pengedaran dadah, senjata dan pendatang untuk ke Amerika Syarikat, menurut badan bukan kerajaan, Insight Crime.

Keganasan jenayah telah menyaksikan lebih 450,000 orang terbunuh di Mexico sejak pemerintahan bekas Presiden Felipe Calderon yang mengerah tentera melancarkan serangan terhadap kartel dadah pada 2006. -AFP

SITI AISHAH MD ISA