(Usaha membawa mayat mangsa dari bas penumpang yang terbakar di lokasi selepas
kemalangan di lebuh raya berhampiran bandar Pindi Bhattian di wilayah timur Punjab/AFP)
ISLAMABAD, 20 Ogos- Sekurang-kurangnya 18 orang maut terbakar pada Ahad apabila sebuah bas merempuh pikap yang membawa diesel di timur Pakistan, kata pegawai.
Kemalangan itu berlaku di lebuh raya pada kira-kira 4.30 pagi berhampiran bandar Pindi Bhattian di wilayah timur Punjab.
"Dalam masa lima minit, keseluruhan bas itu terbakar. Lapan belas orang terbakar hidup-hidup manakala 16 yang lain cedera, empat daripadanya kritikal," kata pegawai kanan polis Fahad Ahmed kepada AFP menerusi telefon.
"Nampaknya pemandu bas itu mengantuk," tambahnya.
Pikap itu membawa tong-tong diesel dan petrol.
Lebuh raya uzur yang tidak terjaga, langkah kawalan keselamatan yang longgar dan pemanduan melulu menyumbang kepada rekod keselamatan jalan raya yang teruk di Pakistan.
Bas penumpang sering dipenuhi hingga sesak dan tali pinggang keledar tidak biasa dipakai menyebabkan angka kematian yang tinggi akibat kemalangan kenderaan tunggal menjadi perkara biasa.
Pada Januari, sekurang-kurangnya 40 orang maut apabila sebuah bas terjunam dari jambatan di barat daya Pakistan dan terbakar. -AFP
(18 maut dalam nahas bas di Pakistan/AFP)