fb fb fb fb fb

14 terbunuh, 37 cedera serangan peluru berpandu Rusia di Ukraine

Foto Reuters

KIEV, 8 Mac – Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dan 37 cedera dalam serangan peluru berpandu dan dron Rusia ke atas beberapa kawasan di Ukraine, menurut Kementerian Dalam Negeri Ukraine.

Kementerian itu melaporkan serangan ke atas bandar Dobropillia, di wilayah Donetsk, telah mengorbankan 11 orang dan mencederakan 30 yang lain, termasuk lima kanak-kanak.

Serangan, yang menggunakan peluru berpandu balistik, pelbagai roket, dan dron, mengakibatkan kemusnahan pada lapan bangunan bertingkat serta 30 kenderaan.

Ketika operasi memadam kebakaran dijalankan, pasukan Rusia melancarkan serangan kedua, menyebabkan kerosakan pada sebuah trak bomba.

Gambar yang dikongsikan oleh pihak berkuasa menunjukkan bangunan yang sebahagiannya musnah dan terbakar, sementara pasukan penyelamat berusaha mengalihkan runtuhan.

Dobropillia, yang sebelum perang mempunyai kira-kira 28,000 penduduk, terletak 22 kilometer dari barisan hadapan di utara hab utama Pokrovsk, kawasan yang menjadi sasaran serangan berterusan Rusia selama beberapa minggu.

Di wilayah Kharkiv, tiga orang awam terbunuh dan tujuh lagi cedera dalam serangan dron berasingan pada waktu malam.

Menurut laporan tentera Ukraine, Rusia telah melancarkan serangan udara dengan menggunakan dua peluru berpandu balistik Iskander-M, satu peluru berpandu jelajah Iskander-K dan 145 dron.

Pasukan udara Ukraine berjaya menembak jatuh satu peluru berpandu jelajah dan 79 dron, manakala 54 dron lain gagal mencapai sasaran, dipercayai akibat gangguan elektronik.

Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi daripada pihak Rusia mengenai serangan itu.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN