GAZA, 21 Mei - Pertubuhan Bangsa Bersatu memberi amaran, seramai 14,000 bayi di Gaza berisiko maut dalam tempoh 48 jam.
Ketua kemanusiaan PBB, Tom Fletcher berkata, jumlah itu akan menjadi kenyataan jika bantuan kemanusiaan tidak segera dihantar ke kawasan kritikal di wilayah itu.
Menurutnya, Gaza perlu ‘dibanjiri’ dengan bantuan susulan kekurangan makanan dan ubat-ubatan yang semakin meruncing.
Beliau menyifatkan angka 14,000 itu sebagai luar biasa dan amat menakutkan.
Katanya, angka itu berdasarkan laporan pasukan PBB di lapangan, yang ramai antaranya telah terkorban.
PBB turut memaklumkan Israel memberi kelulusan kepada kira-kira 100 trak bantuan memasuki Gaza pada Selasa.
Namun, menurut Fletcher, jumlah bantuan yang masuk ketika ini hanyalah ‘setitis dalam lautan’.
Data PBB menunjukkan hanya lima daripada sembilan trak bantuan yang diluluskan pada Isnin berjaya melepasi lintasan Kerem Shalom.
Israel sebelum ini menyekat bantuan ke Gaza selama 11 minggu sebelum menamatkannya hujung minggu lalu.
Dalam perkembangan sama, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran Gaza kini berdepan risiko kebuluran secara menyeluruh.
Jurucakap agensi itu bagi Asia Barat dan Afrika Utara memaklumkan, jumlah kanak-kanak yang kekurangan zat semakin meningkat.
Bayi dalam inkubator antara yang paling terjejas dan berdepan ancaman kematian.
UNICEF berkata, hampir semua bekalan penting untuk kanak-kanak kini sudah kehabisan.
Agensi itu menegaskan penghantaran kecemasan makanan, air dan ubat-ubatan mesti segera dibenarkan bagi menyelamatkan nyawa kanak-kanak di Gaza.-REUTERS