fb fb fb fb fb

13 wanita terlibat skim ibu tumpang diberi pengampunan

FOTO FAIL/ AFP

MANILA, 29 Disember - Kemboja telah memberikan pengampunan dan menghantar pulang 13 wanita Filipina yang dipenjarakan kerana terlibat skim menjadi ibu tumpang.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri Filipina pada Ahad, amalan itu diharamkan.

Wanita-wanita tersebut adalah sebahagian daripada 24 wanita asing yang ditahan polis Kemboja pada September lalu dan disabitkan bersalah serta dijatuhi hukuman penjara empat tahun pada 2 Disember atas tuduhan percubaan penyeludupan manusia rentas sempadan.

Mereka dihantar pulang ke Manila awal pagi Ahad.

"Kesemua 13 wanita telah berlepas dari Phnom Penh dan tiba dengan selamat di Manila selepas mendapat pengampunan diraja oleh Yang Mulia Preah Bat Samdech Preah Boromneath Norodom Sihamoni," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Mahkamah Kemboja menyatakan bahawa terdapat bukti kukuh yang menunjukkan 13 wanita itu mempunyai "niat... untuk melahirkan bayi untuk dijual kepada pihak ketiga sebagai tukaran wang, yang merupakan satu tindakan penyeludupan manusia".

Bagaimanapun, mahkamah tidak memberikan butiran mengenai sebarang perkata yang berlaku kepada bayi-bayi yang akan dilahirkan oleh wanita-wanita tersebut. - AFP

TETITIA YUSOFF