fb fb fb fb fb

Findland hapuskan 120,000 haiwan berbulu

(FOTO AFP)

HELSINKI, 24 Ogos – Finland, pengeluar bulu musang terbesar di Eropah, menghapuskan 120,000 ternakan musang dan cerpelai sebagai tindak balas terhadap wabak selesema burung di ladang-ladang haiwan berbulu negara itu, kata pegawai pada Rabu.

“Perintah penghapusan telah dikeluarkan untuk 13 ladang. Penyembelihan telahpun selesai di 10 ladang,” kata Tuija Gadd, Ketua Unit Virologi Pihak Berkuasa Makanan Finland, kepada AFP.

Wabak selesema burung H5N1 yang dibawa oleh burung camar dilaporkan pada bulan Jun dan kes pertama haiwan ternakan berbulu yang dijangkiti dikesan di Finland pada bulan Julai.

(Kes pertama haiwan ternakan berbulu yang dijangkiti dikesan di Finland
pada bulan Julai/ FOTO AFP)

Pihak berkuasa Finland memutuskan pada awal Ogos untuk menjalankan penghapusan haiwan berbulu di semua ladang yang dijangkiti dan bilangan pemusnahan semakin meningkat sejak itu.

Sejak akhir 2021, Eropah telah dibelenggu wabak selesema burung yang paling teruk, manakala Amerika Utara dan Selatan turut mengalami wabak yang teruk.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia memberi amaran pada Julai bahawa peningkatan wabak selesema burung dalam haiwan mamalia boleh membantu virus itu merebak dengan lebih mudah dalam kalangan manusia.

Terdapat kira-kira 400 ladang bulu di Finland dengan anggaran 1.3 juta haiwan berbulu, kata Gadd.

Wabak selesema burung telah menguatkan semula seruan untuk mengharamkan industri di negara Nordic, pengeluar terkemuka Eropah bagi bulu musang dengan hampir sejuta kulit bulu dihasilkan setiap tahun.

Semasa pandemik COVID-19, Perancis, Belanda dan Estonia memperkenalkan larangan baharu manakala Denmark mengarahkan penghapusan keseluruhan populasi cerpelai yang diternak selepas wabak COVID.

Gadd percaya wabak di ladang haiwan berbulu nampaknya sudah berkurangan, apabila burung camar sudah mula berhijrah ke selatan.–AFP

Media Baharu