THAILAND, 25 Julai - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam pertempuran antara Thailand dan Kemboja yang paling buruk dalam tempoh lebih sedekad, pada Khamis.
Kementerian Kesihatan Thailand menyatakan, seorang askar dan 11 orang awam terbunuh, kebanyakan maut dalam serangan roket berhampiran stesen minyak di wilayah Sisaket.
Semalam, Kemboja melepaskan roket dan peluru artileri ke sempadan manakala tentera Thailand menggunakan jet F-16 untuk melakukan serangan udara.
Kedua-dua pihak bertempur di zon sempadan yang dipertikaikan. Pertelingkahan yang telah berlangsung selama beberapa dekad itu menjadi pertempuran paling berdarah sejak lebih 15 tahun lalu.
Pihak berkuasa wilayah itu berkata, kebanyakan yang maut adalah pelajar yang berada di dalam kedai ketika serangan berlaku.
Rakaman dari tempat kejadian menunjukkan kepulan asap tebal dari kedai serbaneka yang terletak di stesen minyak.
Pihak Thailand memberitahu, 35 orang telah cedera dan menuduh Kemboja menyasarkan bangunan awam.
Jurucakap tentera Thailand, Ritcha Suksuwanon memberitahu, enam pesawat tempur tentera udara dikerah mensasarkan tentera Kemboja .
"Pertempuran tertumpu di enam lokasi dengan tentera darat dan kereta kebal bertempur dengan tentera Kemboja untuk mengawal wilayah," kata tentera Thai.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet meminta Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat segera untuk menangani apa yang dilabelkan sebagai "provokasi tentera ".
Kedutaan Thailand di Phnom Penh menggesa rakyatnya meninggalkan Kemboja "secepat mungkin". AFP