BERLIN, 24 Mei–Sekurang-kurangnya 12 individu cedera dalam satu insiden serangan pisau di stesen kereta api utama di Hamburg, Jerman, awal pagi tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba Hamburg, enam daripada mangsa mengalami kecederaan parah.
Menerusi kenyataan di X, Polis Hamburg memaklumkan bahawa seorang suspek telah berjaya ditahan di lokasi kejadian.
"Maklumat awal mendapati seorang individu telah mencederakan beberapa orang menggunakan pisau di stesen kereta api utama," menurut kenyataan tersebut.
Beberapa mangsa dilaporkan menerima rawatan awal di dalam gerabak kereta api, lapor media tempatan.
Jerman ketika ini berdepan dengan gelombang serangan ganas yang semakin membimbangkan.
Ahad lalu, empat individu mengalami kecederaan dalam insiden tikaman di sebuah bar di bandar Bielefeld.
Kes berkenaan kini disiasat oleh pendakwa raya persekutuan.- AFP