fb fb fb fb fb

100 maut dalam serangan udara tentera Myanmar

(Keadaan sebuah sekolah yang musnah dalam serangan udara dan tembakan pada September 2022
di sebuah perkampungan di wilayah Sagaing, Myanmar. Serangan mengakibatkan 11 pelajar maut/Foto fail AFP)

BANGKOK, 12 April- Sekurang-kurangnya 100 orang awam terbunuh dalam serangan udara tentera Myanmar, di bandar Pazigyi, Sagaing, pada Selasa.

Kanak-kanak dan wanita, antara yang terkorban.

Manakala puluhan yang lain, cedera.

Menurut media tempatan, pesawat tentera melepaskan dua butir bom ketika penduduk berhimpun dalam majlis pelancaran pejabat pentadbiran parti pembangkang.

Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk menggesa junta menamatkan kempen keganasan.

Beliau mahu pelaku dibawa ke muka pengadilan.

"Pelajar sekolah yang membuat persembahan tarian, serta orang awam yang menghadiri majlis perasmian di dewan di kampung Pazigyi, Perbandaran Kanbalu, adalah antara mangsa yang terbunuh.

"Pelaku perlu dibawa ke muka pengadilan," katanya dalam satu kenyataan di Geneva.

(Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk/Foto fail AFP)

Turk turut menyatakan tentera Myanmar sekali lagi tidak menghiraukan "kewajipan undang-undang yang jelas untuk melindungi orang awam.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menerusi kenyataan jurucakapnya, Stephane Dujarric mengecam sekeras-kerasnya serangan tersebut.

Guterres "mengulangi gesaannya agar tentera menamatkan kempen keganasan terhadap penduduk Myanmar di seluruh negara," kata jurucakap itu.

Junta Myanmar mengaku lancar serangan udara

Sementara itu, di Yangon, Junta tentera Myanmar mengesahkan serangan udara tersebut.

Jurucakapnya, Zaw Min Tun mendakwa sebahagian daripada mereka yang maut adalah pejuang anti-rampasan kuasa berseragam.

Ada juga yang mengenakan pakaian awam.

"Menurut maklumat yang kami perolehi, mereka yang maut bukan kerana serangan kami sahaja. Terdapat beberapa lombong yang ditanam oleh PDF di sekitar kawasan tersebut," katanya sambil menambah serangan udara itu juga mengenai kawasan penyimpanan serbuk bedil dan lombong.

Wilayah Sagaing berhampiran bandar kedua terbesar Mandalay, telah memberikan tentangan hebat terhadap pemerintahan tentera.

Pertempuran sengit berlarutan selama berbulan-bulan.-AFP

Media Baharu