fb fb fb fb fb

10 rakyat Malaysia di India selamat dijangka tiba di New Delhi hari ini

(Sungai Beas menenggelamkan sebuah kuil di Mandi negeri utara Himachal Pradesh India/FOTO REUTERS)

PUTRAJAYA, 13 Julai, Kesemua rakyat Malaysia yang gagal dihubungi sebelum ini akibat fenomena hujan lebat di Himachal Pradesh India, dilaporkan selamat.

Wisma Putra menerusi kenyataan memaklumkan, 10 individu tersebut dijangka tiba di New Delhi pada hari ini (Khamis).

Jumlah yang dilaporkan sebelum ini adalah seramai 12 pendaki Malaysia dilaporkan hilang di wilayah India.

"Wisma Putra menjelaskan bahawa daripada 12 individu itu, sebenarnya seorang adalah warga China dan seorang lagi adalah warga British.

“Kementerian Luar Negeri melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi telah dapat berhubung dengan salah seorang daripada sepuluh rakyat Malaysia tersebut.

“Suruhanjaya Tinggi itu dimaklumkan bahawa kesemua mereka berada dalam keadaan selamat di Manali,” katanya.

Berikutan perkembangan ini, Suruhanjaya Tinggi terlibat akan berusaha untuk membawa keluar kumpulan tersebut ke New Delhi pada hari ini.

Tambah Wisma Putra, sekiranya rancangan evakuasi berjalan lancar, kumpulan tersebut dijangka mengambil penerbangan pulang ke Malaysia pada hari sama.

“Kementerian ingin mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan bantuan segera yang diberikan pihak berkuasa Kerajaan India dalam usaha mengesan kesemua
rakyat Malaysia tersebut, ” katanya.

(Limpahan Sungai Beas di daerah Kulla di Himachal Pradesh pada 10 Julai Lalu/FOTO REUTERS)

Bencana banjir kilat yang melanda utara India pada 9 Julai lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang dalam banjir dan tanah runtuh.

Manakala New Delhi dilaporkan menerima hujan paling banyak dalam tempoh beberapa dekad ini apabila taburan hujan tertinggi mencecah 153 milimeter dalam sehari.

Jalan raya di beberapa bahagian di ibu negara juga ditenggelami air setingggi lutut.

Taburan hujan itu direkodkan merupakan jumlah terbesar dalam tempoh sepanjang 40 tahun.

 

Media Baharu