ANKARA, 21 Januari- Sebuah hotel peranginan ski terkenal di wilayah Bolu, Turki, terlibat kebakaran dan mengakibatkan 10 orang maut serta mencederakan 32 yang lain, menurut Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya.
Kebakaran di hotel 12 tingkat dengan lapisan kayu itu berlaku di pusat peranginan ski Kartalkaya sekitar pukul 3.27 pagi. Yerlikaya berkongsi maklumat tersebut melalui platform X.
Hotel Grand Kartal, yang terletak di puncak gunung, dipercayai mengalami kebakaran bermula dari bahagian restoran sekitar tengah malam. Api merebak dengan cepat disebabkan struktur kayu pada bangunan.
Pasukan bomba segera bertindak untuk mengawal kebakaran, tetapi punca kebakaran masih belum dikenal pasti setakat ini.
Rakaman televisyen menunjukkan asap tebal menjulang ke langit dengan latar belakang pergunungan bersalji di belakang hotel tersebut.
Media tempatan melaporkan seramai 234 penghuni berada di hotel itu, dengan kadar penginapan antara 80 hingga 90 peratus, berikutan musim cuti sekolah ketika ini.-AFP