
KUALA LUMPUR, 3 April – Jaguh beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah dijangka berdepan ujian getir apabila berpotensi berdepan empat gandingan terbaik dunia di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 di Ningbo, China minggu depan.
- Rosman senaraikan lawan utama: Liu Sheng Shu-Tan Ning; Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian; Baek Ha Na-Lee So Hee; Mayu Matsumoto-Yuki Fukushima.
- Rosman yakin Pearly-Thinaah ada kekuatan mental tinggi untuk menangani tekanan dan terus bermotivasi.
- Jangan pandang mudah lawan Hong Kong, Fan Ka Yan-Yau Mau Ying; fokus utama kepada corak permainan sendiri.
Ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak berkata, pasangan tersebut ialah beregu nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning serta rakan senegara Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian yang menghuni ranking keempat dunia.
Turut disenaraikan ialah pasangan nombor tiga dunia dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee, serta gandingan Jepun di ranking keenam dunia, Mayu Matsumoto-Yuki Fukushima.
Bagaimanapun, Rosman yakin Pearly-Thinaah memiliki kekuatan mental tinggi untuk menyerap tekanan.
“Tekanan sentiasa ada, tetapi mereka mahu beri yang terbaik. Setiap kejohanan berbeza dan motivasi untuk menang sentiasa ada,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di ibu negara.
Sementara itu, mengulas aksi pusingan pertama menentang pasangan Hong Kong, Fan Ka Yan-Yau Mau Ying, Rosman mengingatkan agar tidak memandang mudah pihak lawan.
“Di atas kertas mungkin kita ada kelebihan, tetapi mereka perlu berhati-hati. Fokus utama adalah kepada corak permainan sendiri,” jelasnya.
Pada edisi lalu, Pearly-Thinaah tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong.