KUALA LUMPUR, 12 September – Pemain bintang Manchester United, Manuel Ugarte serta pemain tengah Real Madrid, Federico Valverde bakal beraksi di Malaysia pada Oktober ini.
Mereka antara beberapa pemain Uruguay yang akan diturunkan dalam dua aksi persabahatan antarabangsa skuad kebangsaan tersebut bagi persediaan ke Piala Dunia 2026.
Uruguay dijadual menentang Republik Dominican pada 10 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum berdepan Uzbekistan di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 13 Oktober.
Menurut Duta Besar Uruguay ke Malaysia, L Mariela Machado, perlawanan persahabatan tersebut bukan sahaja mengujakan malah menjadi peluang besar buat peminat di rantau ini menyaksikan aksi bertaraf dunia secara langsung.
“Setiap kali pasukan kebangsaan Uruguay beraksi, ia adalah satu pesta untuk kami.
“Melihat jersi ‘sky blue’ di Malaysia adalah satu penghormatan besar. Kami akan meraikan dan menyokong pasukan sepenuhnya, bersama-sama dengan rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Star of Uruguay: Global Friendly di sini hari ini.
Selain Ugarte dan Valverde, Uruguay juga bakal menyenaraikan pemain Barcelona, Ronald Araujo.
Sementara itu, pasukan kebangsaan Uzbekistan pula dijangka menurunkan pemain muda seperti Abdukodir Khusanov (Manchester City) dan Abbosbek Fayzullaev (CSKA Moscow) sekali gus menjadikan perlawanan di Melaka lebih sengit.
Ketika ini Uruguay telah pun mengesahkan slot ke Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Peru 3-0 dalam aksi kelayakan pada Jumaat lepas.